Bunga Gergasi Dari Mexico?


Bunga gergasi yang dimaksudkan itu ialah Giant Mexican Sunflower. Kenapa gergasi? Sebab kalau diterjemahkan secara literal, nama bunga ini dalam bahasa Melayu adalah Bunga Matahari Gergasi Mexico. Lagipun bunganya memang agak besar berbanding bunga-bunga lain. Pokoknya saja boleh mencecah 10 kaki (lebih daripada 3 meter) tingginya. Bunga ini bewarna oren atau kuning macam dalam gambar di bawah ini.

Inilah Rupa Bunga Giant Mexican Sunflower Tu...  Cantik, Kan?

Nama saintifiknya ialah Tithonia diversifolia dan ia dikenali juga dengan berbagai-bagai nama seperti Mexican Sunflower (tanpa Giant), Japanese Sunflower, Mexican Tournesol dan Tree Marigold. Di kawasan yang sesuai, pokok bunga ini boleh berbunga sepanjang tahun.

Dari segi perubatan, pokok ini boleh digunakan sebagai penawar racun. Di Taiwan, kita boleh membeli tumbuhan ini yang dijual di pasar-pasar sebagai herba ubatan.

Untuk hidup subur, Giant Mexican Sunflower memerlukan tanah berpasir dan tidak menakung air. Dahan atau cabang-cabangnya perlu dicantas selalu untuk melebatkan bunganya. Hanya perlu disiram selalu pada musim kemarau atau kurang hujan.

Bau bunga ini sangat digemari lebah dan rama-rama.

Cara Menanamnya:

1 Sediakan kawasan yang tanahnya agak berpasir dan tidak menakung air serta mendapat cahaya matahari sepenuhmya.

2 Tanam beberapa biji benih di dalam tanah pada jarak kira-kira 2 kaki di antara satu sama lain. Biji benih itu boleh juga disemai terlebih dulu di dalam dulang semaian sebelum dialihkan ke tanah.

3 Siram air dengan sekata tetapi jangan terlalu banyak.

4 Setelah tumbuh dan berbunga, pangkaslah bunga-bunga yang telah pudar warnanya supaya ia berbunga lebih lama.

5 Bubuh baja setiap 8 hingga 10 minggu atau boleh juga gunakan baja guli yang secara beransur-ansur meresap ke dalam tanah. Sekiranya terlebih baja, daun akan menjadi lebih lebat manakala bunganya berkurangan.


Tentang Klub Bunga Online

Tidak sedikit orang yang senang dengan bunga-bunga, paling tidak mereka senang menjepret objek bunga dengan kamera yang mereka miliki, atau hanya dengan bermodal telpon genggan yang dilengkapi dengan fasilitas kamera. Tentu saja keindahan bunga membuat orang-orang tergugah dan diundang untuk menikmati keindahannya.

Blog sederhana ini hadir untuk berbagi segala sesuatu mengenai bunga, info dan foto. Blog ini juga mengundang kepada para pengunjung untuk mempublikasikan hasil jepretan atau cerita dengan tema bunga atau taman bunga di blog ini. Kontribusi temen2 akan memperkaya konten blog sehingga lebih ramai lagi untuk saling berbagi.

Semoga foto dan konten blog ini berasal dari manasaja. Para pengunjung bebas menggunakan infrmasi di blog ini, termasuk foto yang tidak dilengkapi dengan watermark sesuka hati untuk menyenangkan diri.

Terima kasih sebelumnya untuk kunjungan dan partisipasinya ;)

Kontak Kami

Untuk berbagi info dengan kami, kami dapat menerima email anda.
Silahkan kirim ke : mbah.dukun394@gmail.com

Kami berlokasi di Kota Malang

Bunga Pakai Bedak


"Bunga pakai bedak? Biar betul, Kak Yah. Mana ada bunga bermekap. Dia sendiri pun orang guna untuk buat alat-alat mekap."

Itulah kata-kata yang terhambur apabila Kak Yah cuba melawak dengan seorang jiran.

"Sebenarnya, bukan pakai bedak tapi nama dia bunga bedak." Jelas Kak Yah nak meredakan suasana.

"Pun saya tak pernah dengar; ada ke bunga bedak? Cer tunjukkan kat saya!" Nak mintak tunjuk tapi macam mencabar jer gayanya.

"Alahhh... yang kita biasa sebut YTT. Itulah bunganya. Tu yang kat hujung taman tu!" Jawab Kak Yah sambil menuding ke arah bunga tersebut.

"Oh yang tu... cakaplah tadi. Yang saya tau itu bunga Waititi. Huh, apalah Kak Yah ni!"

"YTT tu cakap omputih; Yesterday,Today and Tomorrow. Cakap Melayunya bunga bedak. Orang panggil bunga bedak sebab dia wangi macam bau bedak Cuticura." Kak Yah menjelaskan lagi.

" Dahlah baik saya pergi dulu; karang habis pulak ikan kat kedai tu." Dia pun berlalu dari situ meninggalkan Kak Yah sendirian di taman mini Kak Yah tu.

Kepada sesiapa yang belum kenal bunga YTT ini, di sini Kak Yah akan ceritakan serba sedikit tentang bunga ini.


Bunga YTT (nama sainsnya Brunfelsia)berasal dari Brazil. Bunganya agak pelik sedikit kerana sentiasa berubah warna. Masa mula kembang ia berwarna ungu (purple) tetapi keesokan harinya ia berubah menjadi ungu cair dan hari seterusnya menjadi putih betul.


Pokok bunga ini sesuai ditanam di atas tanah atau di dalam pasu yang besar kerana ia boleh tumbuh setinggi 10 kaki! Ia tidak sukar untuk dijaga sekiranya ditanam di kawasan tanah lembap tetapi tidak menakung air. Jenis campuran tanah yang sesuai untuk tanaman dalam pasu mestilah mengandungi lumpur, pasir dan bahan-bahan organik. Baja hanya perlu jika kandungan asid tanah di kawasan itu kurang.


Pokok bunga YTT boleh bertahan dalam cuaca yang panas dan berkelembapan tinggi. Walau bagaimanapun ia perlu disiram selalu dengan memastikan air tidak bertakung di dalam pasu.

Pemangkasan perlu dilakukan untuk mengelakkan dahannya berpintal-pintal.


Pembiakannya adalah melalui dua cara: keratan batang dan biji benih. Pada peringkat awal, tanam dalam pasu kecil dulu dan ubah ke pasu yang lebih besar apabila pokoknya semakin membesar.

Bunga YTT tidak berapa digemari serangg-serangga seperti lebah dan rama-rama.

Awas! Bunga YTT ini beracun dan boleh memudaratkan jika termakan. Oleh itu jauhkan daripada kanak-kanak.


Bunga Vinca Gagah Perkasa

Lama gak Kak Yah tak update blog ni. Bukan apa; sibuk melayan customer yang nak order biji benih dan anak pokok melalui Facebook tu. Apa lagi; asyik mengadap fb jelah hari-hari sampai tak sempat nak menulis kat blog ni. Apapun syukurlah hari ni Kak Yah ada masa sikit untuk menulis.

-Tapi nak tulis tentang apa ha? 

-Hai, takkan tak tau pulak. Ni kan ke blog bunga, dah tentulah nak tak nak kena tulis tentang bunga! 

-Okaylah ... tapi bunga apa yer? 

-La ... itupun tak tau jugak. Kan ke ramai yang tanya pasal bunga vinca. Ha, tulis jelah citer bunga vinca

-Haah yer. Kalau camtu, Kak Yah tulislah sikit tentang bunga yang gagah perkasa ni. 

-Ha? Gagah perkasa? Apa yang gagahnya bunga vinca ni. Kan ke dia lembik macam bunga-bunga yang lain tu? 

-Yer ... tapi bunga vinca ni tahan lasak malahan musim kemarau pun dia boleh hidup. Tak ke gagah tu?

-Oooo camtu ...

Baiklah. Cukuplah sesi soal jawab kemusykilan agama eh eh kemusykilan bunga maksud Kak Yah; terysasyul....hehehe...

Bunga vinca atau dipanggil juga periwinkle (yang sejenis dengan Catharanthus)  berasal dari Afrika dan Asia Barat. Ada 6 spesis utama iaitu Vinca herbacea, V.pubescens, V.erecta, V.difformis, V.major dan V.minor. Spesis yang popular ialah Vinca major dan minor.

Vinca major (Foto Wikipedia)

Pokok bunga ini merupakan tumbuhan merayap. Akar akan tumbuh pada bahagian batang yang menyentuh tanah membolehkannya membiak dengan cepat. Sebab itulah bunga ini sesuai dijadikan tanaman litup tanah (groundcover) di taman-taman bunga atau boleh juga ditanam di dalam pasu yang lebar atau luas.

Vinca minor (Foto Wikipedia)

Selain itu, tumbuhan ini juga membiak melalui biji benih yang terpelanting keluar apabila buahnya telah cukup ranum dan kering. Biji benih inilah yang digunakan untuk menanam pokok bunga vinca di kawasan rumah atau dalam pasu.

Vinca difformis (Foto Wikipedia)

Pokok bunga vinca boleh berbunga sepanjang tahun dan biasanya berwarna ungu (violet) walaupun adakalanya putih atau biru muda atau merah atau warna aprikot.

Vinca herbacea (Foto Wikipedia)

Vinca mudah ditanam dan mudah juga dijaga. Ia tahan panas dan tidak memerlukan air yang banyak. Siram sekali-sekala dan baja dengan baja biji atau yang dicampur air sekitar sebulan sekali. Pastikan air tidak bertakung di tempat ia tumbuh itu.

Vinca Yang Kak Yah Tanam 

Dari segi perubatan, beberapa jenis spesis seperti Vinca rosea yang banyak mengandungi alkaloid boleh dijadikan penawar leukemia dan kanser .


Hati-Hati Dengan Pokok Ati-Ati


Kenapa pulak nak kena hati-hati dengan pokok ati-ati-ati? Sebab ada sesetengah spesis tumbuhan ini mengandungi bahan yang boleh mengkhayalkan jika dimakan!

Tapi jangan bimbang; kebanyakan spesis yang terdapat di Malaysia ni tidak berbahaya. Jadi bolehlah ditanam di sekitar kawasan rumah sebagai tanaman hiasan yang cantik berwarna-warni.


Ati-ati atau coleus dalam bahasa Inggeris dan solenostemon nama saintifiknya adalah sejenis tumbuhan yang banyak tumbuh di kawasan tropika seperti di Afrika, Asia, Australia, Kepulauan Melayu, Filipina dan Hindia Barat.


Ada 5 spesis utama pokok ati-ati ini iaitu Solenostemon autarky, S. rotundifolius, S. scutellarioides, S. shirensis dan S. pumilus. 



Spesis yang banyak didapati di negara kita ialah S. scutellarioides (Coleus blumei ).
Jenis ini biasanya mempunyai daun yang bergerigi dan warna yang terang yang biasanya bercampur pada sehelai daun. Kuning dan hijau, merah dan hijau dan sebagainya. Spesies yang paling menarik pula ialah Coleus blumei dan Coleus hybridus dan ia mudah ditanam menggunakan keratan batang muda.


Pokok ati-ati sesuai ditanam di kawasan yang bertanah gembur dan lembap tetapi tidak menakung air dan boleh tumbuh sehingga setinggi setengah ke dua meter. Pokok ini tahan panas dan akan menghasilkan daun-daun yang berwarna terang dan cantik jika mendapat cahaya yang cukup tetapi akan mati jika kekurangan air seperti pada musim kemarau.



Membiakkan ati-ati sangatlah mudah. Keratlah batangnya pada bahagian yang mempunyai daun dan rendam di dalam air sehingga berakar. Tak perlu ditambah bahan penggalak akar. Selepas itu cucukkanlah ke tanah atau boleh juga ditanam di dalam pasu.


Kita boleh juga membiakkan tanaman ini menggunakan biji benih. Cuma taburkan sahaja ke atas tanah dan tekan-tekan sedikit dengan tangan. Jangan dilindung kerana biji benih ini memerlukan cahaya matahari untuk tumbuh. Lembapkan tanah itu dengan menyembur sedikit air setiap hari. Biasanya anak pokok akan muncul selepas 2 minggu.


Baja kimia yang tinggi kandungan nitrogen perlu dibekalkan sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk mendapatkan daun yang cantik. Selepas berbunga, pangkaslah dahan bunganya bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru.

File:Solenostemon scutellarioides 002.jpg
Solenostemon scutellarioidesColeus blumei  (Foto Wikipedia)

Berikut ialah langkah demi langkah cara menyemai pokok ati-ati yang Kak Yah petik daripada akhbar My Metro.

Sediakan bahan-bahan:

-Pokok ati-ati
-Tanah bakar (untuk menyimpan air)
-Tanah kompos (untuk rongga akar)
-Pasu
-Kapur pertanian (untuk mengelakkan tanah masam)
-Air secukupnya
-Peralatan berkebun.

Langkah 1

-Campurkan tanah bakar dengan tanah kompos dan kapur pertanian.

-Ia membabitkan satu beg tanah bakar dan dua beg tanah kompos.

-Masukkan ke dalam pasu baru.

Langkah 2

-Ambil batang atau daun ati-ati yang sihat.

Langkah 3

-Ruas perlu ditanam ke dalam tanah untuk mempercepatkan proses pembiakan.

-Padatkan tanah untuk menyokong tumbesarannya.

Langkah 4

-Basahkan atau siram pokok ati-ati itu.

Langkah 5

-Dalam masa seminggu pokok ati-ati itu biasanya sudah mengeluarkan akar.

-Bagaimanapun dalam masa dua minggu seterusnya ia perlu dipindahkan ke tempat kekal untuk menggalakkan pembiakannya.




Bunga Dahlia Aneka Warna


Bunga dahlia adalah sejenis bunga yang sangat cantik yang berasal dari Mexico. Nama dahlia itu berasal daripada nama seorang pakar botani Sweden yang bernama Anders Dahl.

Dahlia Kuning Oren

Bunga ini mempunyai lebih daripada 30 spesis yang beraneka rupa dan warna. Antara spesis yang terkenal ialah Dahlia 'Adelaide Fontane', Dahlia 'Appleblossom', Dahlia 'Arabian Night', Dahlia 'Art Deco' dan Dahlia 'Aurora's Kiss'.

Di Malaysia, bunga ini hidup subur di kawasan-kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands. Spesis yang biasa ditanam di negara kita ini ialah Dahlia coccine dan Dahlia juarezii.

Dahlia Merah Jambu

Bunga ini dibiakkan melalui ubi dan keratan batang tetapi lebih mudah tumbuh melalui ubi. Ada juga spesis yang membiak melalui biji benih. Biasanya selepas habis berbunga, pokok bunga ini akan mati meninggalkan ubi-ubi di dalam tanah. Korek dan keluarkan ubi-ubi itu dan bersihkan dengan air. Selepas itu, semburkan racun kulat ke atasnya dan jemur selama beberapa hari. Setelah betul-betul kering, bolehlah ditanam semula sama ada di dalam pasu atau di atas tanah.

Dahlia Putih

Dahlia memerlukan tanah yang lembap tetapi tidak menakung air. Baja kimia yang boleh digunakan ialah dari jenis NPK. Cahaya matahari juga mestilah banyak iaitu sekurang-kurangnya 6 jam sehari untuk mendapatkan bunga-bunga yang cantik warnanya. Semasa mula berbunga, pokok dahlia perlu dicantas pada bahagian pucuk-pucuknya.

Dahlia Ungu

Tumbuhan ini sangat digemari oleh siput babi dan ulat beluncas. Oleh itu pastikan taman bunga anda tidak dihuni oleh haiwan-haiwan ini. Selain itu, pokok bunga dahlia ini mudah dijangkiti kulat. Gunakan racun kulat untuk mengatasi masalah ini.

Dahlia Pompom
Dahlia Calit
Dahlia Kuning
Dahlia Purple White
Dahlia Magenta

Bunga Daisy Cantik Berseri


Bunga-Bunga Daisy (Daisies)


Bunga daisy adalah sejenis bunga yang sangat cantik yang berasal dari kawasan utara dan tengah Eropah. Perkataan daisy membawa maksud "mula kembang pada waktu terbit fajar". Bunga ini tergolong dalam keluarga bunga Compositae (sekuntum bunganya terdiri daripada banyak kuntum-kuntum kecil). Bunga daisy melambangkan keikhlasan, kesetiaan dan kesucian. Sebab itulah ramai penggemar bunga menjadikannya sebagai hadiah.


Bunga Daisy Kampung 1


Pokok bunga ini berbunga sepanjang tahun dan mudah membiak. Ada banyak jenis daisy. Antaranya ialah Spanish Daisy, Blue Daisy, Lazy Daisy atau Prairie Daisy, African Daisy, Michaelmas Daisy, Swan River Daisy, Tatarian Daisy, Painted Daisy, Paris Daisy, Shasta Daisy, Crown-Daisy, Ox-eye Daisy, Nippon Oxeye Daisy, Giant Daisy, African Daisy, Kingfisher Daisy, Sunshine Daisy, Gerbera Daisy, Transvaal Daisy atau Barberton Daisy, Tahoka Daisy, Livingstone Daisy, Gloriosa Daisy, Dahlberg Daisy dan Butter Daisy. Jenis yang paling popular ialah Shasta Daisy dan African Daisy.


Bunga Daisy Kampung 2

Penanaman

Cara menanam daisy amatlah mudah. Bunga ini dibiakkan melalui biji benih yang boleh terus ditabur saja ke atas tanah. Pastikan kawasan tanaman itu mendapat banyak cahaya matahari. Sebelum itu bubuh baja tahi ayam atau kompos dan pastikan tempat itu tidak menakung air. Kalau ditanam di tempat yang panas terik, lindunglah sedikit pokok itu dan siramlah selalu. Pastikan jarak di antara satu pokok ke pokok yang lain kira-kira 9 hingga 12 inci (lebih kurang 30 cm). Siram selalu pada musim yang kurang hujan turun. Baja sebulan sekali.


Bunga Daisy Kampung 3

Penjagaan


Biasanya serangga perosak jarang menyerang pokok bunga daisy. Walau bagaimanapun, jika tanaman kita diserang penyakit, gunakan racun kulat. Apabila hampir waktu berbunga, bubuh baja fosfur supaya bunganya besar dan cantik warnanya. Pada musim hujan, lindunglah dengan plastik jernih atau benda-benda lain yang boleh ditembusi cahaya matahari tetapi tidak ditembusi air hujan. Jangan lupa menyiramnya sekali sekala.


Bunga Daisy Kampung 4


Khasiat Perubatan

Daun dan kelopak bunga ini boleh dimakan dan boleh juga digunakan untuk menyembuhkan sakit tekak dan sakit perut.

Bunga Daisy Kampung 5

Ekstra

Bunga-bunga daisy di bawah ni hanya boleh hidup di kawasan sejuk seperti di Cameron Highlands.


Cameron Highlands Daisy 1
Cameron Highlands Daisy 2


Bunga Matahari - Bunga Ribuan Kuntum


Bunga matahari adalah sejenis tumbuhan semusim yang sangat popular sama ada sebagai tanaman hiasan ataupun tanaman penghasil minyak. Bunga ini sangat unik kerana kuntumnya yang agak besar berbanding bunga-bunga lain. Setiap kuntumnya boleh membesar sehingga 30cm lebarnya manakala pokoknya pula boleh tumbuh sehingga setinggi 5m. Tumbuhan ini berasal dari Amerika Utara di sekitar Mexico.

Bunga Matahari Kuning

Sebenarnya sekuntum bunga matahari yang kita lihat itu terdiri daripada beribu-ribu kuntum kecil yang bergabung menjadi satu. Sebab itulah Kak Yah menggelar bunga ini "Bunga Ribuan Kuntum"!


Bunga Matahari Kuning Merah (Foto: Wikipedia)

Ada dua jenis bunga matahari: pertama, jenis lidah dan kedua, jenis tabung. Bunga matahari lidah terdiri daripada satu kelopak besar berwarna kuning cerah dan tidak mengeluarkan biji; manakala bunga matahari tabung pula terdiri daripada lebih 2000 kuntum kecil pada satu tandan bunga. Jenis inilah yang banyak menghasilkan biji yang kita kenali sebagai biji bunga matahari itu. Biji-biji ini sebenarnya terlindung dari pandangan kita kerana diselaputi kulit tebal dan keras di luarnya.

Bunga Matahari Jenis Tabung (Foto: Wikipedia)

Bunga matahari ditanam untuk pelbagai tujuan. Antaranya ialah:-

- sebagai tanaman hiasan
- untuk menghasilkan minyak
- untuk dijadikan makanan haiwan ternak
- untuk menghasilkan kuaci.


Pokok Bunga Matahari (Foto: Wikipedia)

Anak Pokok Bunga Matahari (Foto: Wikipedia)
Benih Bunga Matahari (Foto: JomTanamBunga)


Pokok bunga ini sesuai ditanam di kawasan tanah yang subur dan mendapat cahaya matahari yang banyak. Walau bagaimanapun, pokok ini lebih subur jika berada di kawasan tanah tinggi.

Khasiat bunga ini amatlah baik bagi kesihatan manusia. Minyaknya mengandungi linoleat yang elok digunakan untuk menggoreng atau dicampurkan dengan salad. Di sesetengah tempat di Eropah, biji bunga matahari digunakan dalam pembuatan roti.

Minyak Bunga Matahari


Selamat Hari Raya Wahai Si Bunga Raya

Selamat Hari Raya kepada semua pembaca setia blog Kak Yah ni. Selamat Hari Raya juga Kak Yah ucapkan kepada semua "teman-teman" di taman mini Kak Yah Si Tasbih, Si Cosmos, Si Marigold, Si Adenium, Si Anthurium dan yang lain-lain tu terutama sekali kepada Si Raya yang sentiasa raya walaupun bukan hari raya, hehe...

Sempena hari raya ni, kali ni Kak Yah nak citer pasal bunga raya. Mungkin semua orang kenal bunga raya tapi masih ada juga yang tak tahu asal usul serta khasiat bunga ini.

Nama saintifik bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan negara kita tu ialah Hibiscus rosasinensis. Bunga raya juga dipanggil bunga sepatu dan kembang sepatu. Tumbuhan ini berbunga sepanjang tahun di kawasan tropika dan subtropika. Spesis bunga ini berjumlah lebih daripada 200 jenis.


Bunga Raya ( Hibiscus rosasinensis )

Ada macam-macam bentuk dan warna bunga raya. Lihatlah contoh-contohnya di bawah ini:-


File:Hibiscus white at Karnal.jpg
Bunga Raya Putih
Fail:Chinese rose hibiscus.jpg
Bunga Raya Kelopak Berlapis
Fail:KingKalakua01.JPG
King Kalakua
Fail:Timeless01.jpg
Timeless
Fail:KinchensYellow01.jpg
Kinchen's Yellow
Fail:MysticPink01.jpg
Mystic Pink
Fail:ApricotBrandy01.jpg
Apricot Brandy
Fail:PastelPie01.jpg
Pastel Pie
Fail:FeelinBlue01.jpg
Feelin Blue
Fail:Fire01.jpg
Fire
Fail:Hibiscus Tricolor.jpg
Tricolor
Fail:PeppersSuprise01.JPG

PeppersSuprise

Fail:HeartAndSoul01.jpg
Heart And Soul


Bunga raya diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia pada bulan Julai 1960 selepas dipilih dari beberapa jenis bunga yang dicadangkan iaitu  Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Pemilihan tersebut adalah berdasarkan kepada keunikan bunganya yang merah yang melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran.

Mmmm ... Sedapnya!
Dari segi khasiatnya, bunga raya boleh dijadikan minuman yang lazat. Kalau nak rasa, cubalah buat sendiri. Tak susah pun. Petik sebanyak mana perlu kuntum bunga raya. Cuci bersih-bersih dari segala serangga dan kotoran. Pastu masukkan dalam periuk dan isikan air sampai tenggelam kesemua bunga tadi. Masak sehingga mendidih; kemudian sejukkan semalaman. Keesokan harinya, tapiskan airnya dan perahkan sedikit limau nipis dan tambahkan gula perang (brown sugar). Sejukkan dalam petisejuk atau tambahkan ketul ais. Hidangkan!

Daun bunga raya boleh dibuat syampu. Kalau suka ambil saja segenggam daunnya dan cuci bersih-bersih. Pastu hancurkan dalam blender bersama dengan sedikit air. Lumurkan ke atas kepala (yang berambut). Buatlah macam kita guna syampu biasa. Untuk lebih berkesan biarkan lumuran tersebut selama kira-kira 5 minit sebelum dibilas. Akhir sekali, bilaslah dengan air bersih. Amalkan selalu, insya Allah rambut jadi bersih, lebat dan berkilat.

Pokok bunga raya senang dibiakkan dan senang dijaga. Boleh dibiakkan melalui keratan batang (cara inilah yang biasa dibuat orang) dan boleh juga melalui tut. Sesuai ditanam di kawasan yang panas dan lembab (maknanya selalu panas dan selalu hujan macam kat Malaysia ni). Untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang cara-cara penanaman dan penjagaan sila ke  http://www.treesforlife.gov.my/cara-penanamanbg.php?lang=bm&f=5


( Sumber Gambar Tambahan: Wikipedia )