Bunga Pakai Bedak


"Bunga pakai bedak? Biar betul, Kak Yah. Mana ada bunga bermekap. Dia sendiri pun orang guna untuk buat alat-alat mekap."

Itulah kata-kata yang terhambur apabila Kak Yah cuba melawak dengan seorang jiran.

"Sebenarnya, bukan pakai bedak tapi nama dia bunga bedak." Jelas Kak Yah nak meredakan suasana.

"Pun saya tak pernah dengar; ada ke bunga bedak? Cer tunjukkan kat saya!" Nak mintak tunjuk tapi macam mencabar jer gayanya.

"Alahhh... yang kita biasa sebut YTT. Itulah bunganya. Tu yang kat hujung taman tu!" Jawab Kak Yah sambil menuding ke arah bunga tersebut.

"Oh yang tu... cakaplah tadi. Yang saya tau itu bunga Waititi. Huh, apalah Kak Yah ni!"

"YTT tu cakap omputih; Yesterday,Today and Tomorrow. Cakap Melayunya bunga bedak. Orang panggil bunga bedak sebab dia wangi macam bau bedak Cuticura." Kak Yah menjelaskan lagi.

" Dahlah baik saya pergi dulu; karang habis pulak ikan kat kedai tu." Dia pun berlalu dari situ meninggalkan Kak Yah sendirian di taman mini Kak Yah tu.

Kepada sesiapa yang belum kenal bunga YTT ini, di sini Kak Yah akan ceritakan serba sedikit tentang bunga ini.


Bunga YTT (nama sainsnya Brunfelsia)berasal dari Brazil. Bunganya agak pelik sedikit kerana sentiasa berubah warna. Masa mula kembang ia berwarna ungu (purple) tetapi keesokan harinya ia berubah menjadi ungu cair dan hari seterusnya menjadi putih betul.


Pokok bunga ini sesuai ditanam di atas tanah atau di dalam pasu yang besar kerana ia boleh tumbuh setinggi 10 kaki! Ia tidak sukar untuk dijaga sekiranya ditanam di kawasan tanah lembap tetapi tidak menakung air. Jenis campuran tanah yang sesuai untuk tanaman dalam pasu mestilah mengandungi lumpur, pasir dan bahan-bahan organik. Baja hanya perlu jika kandungan asid tanah di kawasan itu kurang.


Pokok bunga YTT boleh bertahan dalam cuaca yang panas dan berkelembapan tinggi. Walau bagaimanapun ia perlu disiram selalu dengan memastikan air tidak bertakung di dalam pasu.

Pemangkasan perlu dilakukan untuk mengelakkan dahannya berpintal-pintal.


Pembiakannya adalah melalui dua cara: keratan batang dan biji benih. Pada peringkat awal, tanam dalam pasu kecil dulu dan ubah ke pasu yang lebih besar apabila pokoknya semakin membesar.

Bunga YTT tidak berapa digemari serangg-serangga seperti lebah dan rama-rama.

Awas! Bunga YTT ini beracun dan boleh memudaratkan jika termakan. Oleh itu jauhkan daripada kanak-kanak.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar