------------------------------------------------------------------------------------
Pastikan Orkid Kekal Menarik
Orkid antara tumbuhan paling popular di dunia kerana mempunyai karakter menarik dan pelbagai warna seperti ungu, merah, kuning, biru, hijau dan coklat. Kini, pelbagai jenis orkid ada dijual di pasaran dan tahukah anda hutan di negara ini antara yang mempunyai ribuan jenis dan spesies orkid. Melalui kajian, ada kira-kira 2,500 spesies di Sabah dan Sarawak manakala 850 spesies di Semenanjung. Tanaman itu biasanya membiak di kawasan hutan, tetapi hari ini ramai peminat orkid dari seluruh dunia lebih gemar menjadikan koleksi orkid untuk menghiasi taman pada kediaman.
Memastikan ia hidup subur dan kekal menarik sepanjang masa, keperluan hidup tanaman ini perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu dari segi teknik, petua dan cara penjagaan.
Baja dan air adalah keperluan utama untuk kebanyakan jenis orkid. Bagaimanapun, terdapat ribuan jenis orkid yang hidup dalam keadaan yang pelbagai.
Teknik penjagaan orkid
Arang biasanya digunakan untuk orkid memanjat dan boleh juga digabungkan dengan batu bata.
Pecahan arang perlu direndam semalaman untuk menghilangkan garam yang biasanya terdapat pada kayu bakau.
Malah, batu bata juga digunakan untuk orkid epifit iaitu orkid yang menjalar.
Campuran pecahan arang dan batu-bata perlu kerana kebanyakan orkid memerlukan gabungan dua medium tanaman itu.
Sementara itu batu bata perlu direndam semalaman bersama racun kulat dan hendaklah dikeringkan sebelum menanam orkid.
Serbuk kayu pula diperlukan orkid yang ditanam di dalam pasu dan jenis yang memanjat.
Lazimnya, gabungan pecahan arang dan batu bata diletakkan bersama serbuk kayu. Serbuk kayu perlu direndam semalaman bersama racun kulat untuk menghilangkan kekotoran yang terdapat di dalamnya. Keringkan ia sebelum digunakan.
Pada masa sama, batang paku pakis gajah digunakan untuk tanaman orkid yang digantung. Ia mampu menyimpan air dalam jangka masa lama dan membantu orkid terus hidup.
Artikel ini telah disiarkan di Harian Metro pada Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:04 AM
Tidak ada komentar:
Posting Komentar