Bunga Punya Warna, Akar Dapat Nama!

Nama saintifiknya Allamanda cathartica manakala nama biasa ialah Bunga Akar Kuning, Bunga Loceng, Bunga Trompet Emas atau Bunga Buttercup. Berasal dari Amerika Selatan iaitu di sekitar Mexico hinggalah ke Argentina. Nama Allamanda diambil daripada nama seorang pakar tumbuh-tumbuhan Switzerland yang bernama Frederic-Louis Allamand.

Allamanda
Ini Bunga Allamanda Kuning Yang Kak Yah Tanam

Pada mulanya pokok bunga Allamanda ini hanya ditemui di tebing-tebing sungai dan di kawasan-kawasan yang mendapat cahaya matahari dan air yang mencukupi. tetapi sekarang ini Allamanda boleh ditemui di merata-rata tempat di kawasan tropika seperti di sepanjang parit-parit di tepi jalan dan juga di kawasan-kawasan tanah lapang yang terbiar.

Pink Allamanda
Yang Warna Pink Ini Pun Kak Yah Tanam Juga

Pokok bunga ini dibiakkan melalui keratan batang dan  setakat ini 15 spesis tumbuhan ini telah dikenalpasti. Antara spesis-spesis yang popular ialah Allamanda cathartica, Allamanda blanchetii, Allamanda angustifolia, Allamanda polyantha dan Allamanda schottii. Sungguhpun kebanyakan spesis menghasilkan bunga yang bewarna kuning namun ada juga yang mengeluarkan bunga bewarna pink (merah jambu).

Allamanda schottii
Allamanda schottii

Allamanda yang biasa dijadikan tanaman hiasan terdiri daripada 2 jenis. Pertama, jenis menjalar/memanjat manakala kedua ialah jenis belukar. Di Malaysia, jenis belukar lebih banyak ditanam berbanding jenis yang pertama itu.

Buah Allamanda schottii

Tumbuhan ini senang ditanam dan dijaga. Semasa menanamnya, campurkan sedikit baja tahi ayam/lembu ke dalam tanah yang digunakan. Jarakkan kira-kira 3 ke 4 kaki di antara satu pokok dengan yang lain kerana Allamanda mudah merimbun dan melebar. Pangkas daun-daunnya untuk mendapatkan bentuk pokok yang dikehendaki. Siram selalu tetapi pastikan air siraman itu betul-betul kering barulah disiram lagi. Untuk mendapatkan pokok dan bunga yang cantik, gunakan pula baja biji penggalak bunga dan daun tiga atau empat bulan sekali.

Allamanda cathartica
Allamanda cathartica

Getah pokok bunga ini bewarna putih dan mengandungi racun. Oleh itu pastikan anda memakai sarung tangan semasa mengendalikan tumbuhan ini.

Di segi perubatan, tumbuhan ini telah digunakan secara tradisional sebagai penawar kepada penyakit-penyakit seperti penyakit kuning dan malaria.

Allamanda blanchetii
Allamanda blanchetii


Tidak ada komentar:

Posting Komentar