Bunga Punya Warna, Akar Dapat Nama!

Nama saintifiknya Allamanda cathartica manakala nama biasa ialah Bunga Akar Kuning, Bunga Loceng, Bunga Trompet Emas atau Bunga Buttercup. Berasal dari Amerika Selatan iaitu di sekitar Mexico hinggalah ke Argentina. Nama Allamanda diambil daripada nama seorang pakar tumbuh-tumbuhan Switzerland yang bernama Frederic-Louis Allamand.

Allamanda
Ini Bunga Allamanda Kuning Yang Kak Yah Tanam

Pada mulanya pokok bunga Allamanda ini hanya ditemui di tebing-tebing sungai dan di kawasan-kawasan yang mendapat cahaya matahari dan air yang mencukupi. tetapi sekarang ini Allamanda boleh ditemui di merata-rata tempat di kawasan tropika seperti di sepanjang parit-parit di tepi jalan dan juga di kawasan-kawasan tanah lapang yang terbiar.

Pink Allamanda
Yang Warna Pink Ini Pun Kak Yah Tanam Juga

Pokok bunga ini dibiakkan melalui keratan batang dan  setakat ini 15 spesis tumbuhan ini telah dikenalpasti. Antara spesis-spesis yang popular ialah Allamanda cathartica, Allamanda blanchetii, Allamanda angustifolia, Allamanda polyantha dan Allamanda schottii. Sungguhpun kebanyakan spesis menghasilkan bunga yang bewarna kuning namun ada juga yang mengeluarkan bunga bewarna pink (merah jambu).

Allamanda schottii
Allamanda schottii

Allamanda yang biasa dijadikan tanaman hiasan terdiri daripada 2 jenis. Pertama, jenis menjalar/memanjat manakala kedua ialah jenis belukar. Di Malaysia, jenis belukar lebih banyak ditanam berbanding jenis yang pertama itu.

Buah Allamanda schottii

Tumbuhan ini senang ditanam dan dijaga. Semasa menanamnya, campurkan sedikit baja tahi ayam/lembu ke dalam tanah yang digunakan. Jarakkan kira-kira 3 ke 4 kaki di antara satu pokok dengan yang lain kerana Allamanda mudah merimbun dan melebar. Pangkas daun-daunnya untuk mendapatkan bentuk pokok yang dikehendaki. Siram selalu tetapi pastikan air siraman itu betul-betul kering barulah disiram lagi. Untuk mendapatkan pokok dan bunga yang cantik, gunakan pula baja biji penggalak bunga dan daun tiga atau empat bulan sekali.

Allamanda cathartica
Allamanda cathartica

Getah pokok bunga ini bewarna putih dan mengandungi racun. Oleh itu pastikan anda memakai sarung tangan semasa mengendalikan tumbuhan ini.

Di segi perubatan, tumbuhan ini telah digunakan secara tradisional sebagai penawar kepada penyakit-penyakit seperti penyakit kuning dan malaria.

Allamanda blanchetii
Allamanda blanchetii


Bunga Mentega

Pernah dengar nama bunga ni? Bunga Mentega atau Bunga Jepun. Bunga Jepun mungkin ramai yang tahu tapi jangan silap pulak bunga ni tak sama dengan Bunga Ros Jepun. Di Malaysia ni mungkin orang jarang sebut bunga mentega tapi kalau di Indonesia sana, itulah nama yang mereka beri kepada bunga Jepun. Kalau ada yang masih kurang jelas, sebenarnya bunga ini juga dikenali sebagai Bunga Oleander. Tentang bunga inilah yang Kak yah nak citer kali ni.

Oleander yang banyak ditanam di negara kita ni ialah daripada spesis Nerium Oleander. Berasal dari Asia Barat (sekitar kawasan Mediteranean), bunga ini sekarang boleh ditemui di merata tempat di kawasan yang beriklim tropika dan separa tropika termasuklah Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara. Untuk mengetahui macam mana rupabentuk bunga ni, sila lihat gambar-gambar di bawah.


Nerium Oleander
Nerium Oleander atau Bunga Jepun atau Bunga Mentega

Cantik, kan? Tapi awas, seluruh bahagian pokok bunga ini mengandungi racun yang berbahaya kepada manusia dan haiwan yang memakannya. Namun kesannya lebih kuat pada haiwan. Boleh jadi pening, muntah-muntah dan cirit-birit kita dibuatnya. Asap dari daun-daun dan ranting-rantingnya yang kita bakar pun boleh menyebabkan kita pening jika terhidu!


White Nerium Oleander
Ini Oleander Putih ( Maaf, Gambar Kabur Sikit)


Pokok oleander boleh tumbuh merimbun macam belukar hingga setinggi 6 meter iaitu menyamai hampir 20 kaki. Tinggi tu! Jadi, kalau nak menanamnya pilihlah kawasan yang sesuai dengan ketinggiannya itu. Kalau tidak, mungkin boleh terkena kabel elektrik atau telefon. Walau bagaimanapun, ketinggiannya boleh kita hadkan dengan pemangkasan. Bunganya ada tiga warna iaitu merah, putih dan pink (merah jambu) dan tumbuh secara sejambak-sejambak. Ada juga yang bewarna oren tetapi itu dari spesis yang dikacuk bukan yang ori. Cantik juga jika ditanam sebagai pokok pagar (yang tinggi, hehe ..) untuk mengepung kawasan rumah.


Pink Nerium Oleander
Ini Oleander Pink - Pun Cantik Juga!

Untuk menanam pokok bunga ini kita boleh gunakan biji benih atau keratan batang tetapi lebih mudah jika menggunakan keratan batang. Cuma pastikan keratan batang itu berakar. Atau kalau nak lagi senang, beli jer anak pokok yang dah siap dengan pasunya sekali.


Nerium Oleander Bud
Putik Bunga Oleander Putih


Oleander suka kepada tanah yang agak kering dan berpasir sedikit. Kawasan itu mestilah disinari matahari sepanjang hari (kalau tak hujanlah!). Pada peringkat awal pertumbuhannya, tanaman ini perlu disiram setiap hari tetapi apabila telah membesar dengan mantap, bolehlah dijarangkan sedikit menyiramnya. Pastikan tanahnya tidak digenangi air.


Red Nerium Oleander Bud
Putik Bunga Oleander Merah


Di segi pembajaan pulak, tanaman ini tidak memerlukan baja sekiranya ditanam di tanah yang subur. Kalau tanah tak subur, bolehlah dibubuh baja NPK.

Rimbunannya perlu dipangkas atau dicantas selalu untuk menggalakkan pertumbuhan dan mengawal ketinggiannya. Pastikan dahan atau ranting yang hendak dibuang itu dipotong pada bahagian selepas 3 buku tunas (tempat daun tumbuh). Daun-daun baru akan keluar diikuti dengan jambak-jambak bunga yang cantik sekali!


Nerium Oleander Seeds
Beginilah Rupa Biji Benih Oleander



Nak Order Biji Benih Nerium Oleander Dari USA? 
Klik Pada Gambar-Gambar Ini

Ekor Kucing Dijadikan Hiasan?

Biar betul Mak Yah ... mana logiknya ekor kucing tu kita potong pastu jadikan hiasan!

Itulah kata-kata yang terhambur daripada mulut anak buah Kak Yah yang bernama N bila Kak Yah kata yang ekor kucing pun orang buat hiasan. Memang patut pun ... budak ni belum pun lepas UPSR ... manalah dia tau sangat tentang bunga-bunga.

Bukan ekor kucing betul-betul tu. Ni pokok ekor kucing. Tu ada kat taman Mak Yah tu. Pergi tengok. Yang warna merah berjuntai-juntai tulah bunga ekor kucing!

N dan adiknya M datang bercuti hujung minggu di rumah Kak Yah baru-baru ni. Dia panggil Kak Yah ni: Mak Yah.

Oh yang niiii ... haahlah Mak Yah, sebijik macam ekor kucing betul. Cantiklah Mak Yah!

Eh, Mak Yah memang cantik. Dah kuar kat satkhabar dah! (Kak Yah buat lawak, hehe ..).

Bukan Mak Yahlah ... bunga ni yang cantik. Apalah Mak Yah ni. (Hai, marah nampak!)

Ekor Kucing
Ekor Kucing Yang Kak Yah Tanam: Bunganya Cantik ... Tapi Daunnya ...

Okaylah. Tentu korang tak kuasa nak dengar kisah anak buah Kak Yah tu, kan?

Baiklah, mari kita citer pulak pasal bunga ekor kucing.

Pokok bunga ekor kucing atau nama saintifiknya Acalypha hispida adalah sejenis tanam hiasan yang berasal dari pulau-pulau yang beriklim tropika di Lautan Pasifik. Sekarang pokok ini banyak didapati di negara-negara seperti Hawai, Amerika Utara, Mexico, Belize dan juga Amerika Syarikat. Dalam bahasa Inggeris, tanaman ini dikenali sebagai red hot cat's tail (ekor kucing merah menyala), fox tail (ekor musang), Philipines Medusa (Medusa Filipina) dan Chennile Plant (Pokok Chennile).


 Acalypha hispida
Dari Dekat


Cantik ditanam sebagai hiasan di halaman rumah dan di dalam rumah. Dibiakkan melalui biji benih ataupun boleh juga menggunakan keratan batang. Bila cukup matang, pokoknya boleh mencecah ketinggian sehingga hampir 3 meter (tinggi tu!). Macam manapun, kita harus berhati-hati dengan pokok ini kerana semua bahagian pokok ini adalah beracun jika dimakan oleh haiwan! Selain merah, bunga ekor kucing juga ada yang bewarna ungu dan coklat.


Ekor Kucing
Amboi, Lebatnya Bunga!


Dari segi perubatan, daunnya boleh digunakan untuk merawat mengubati penyakit kusta. Air rebusan daun dan bunganya boleh digunakan untuk merawat luka dan ulser; juga sebagai pencuci perut serta merawat penyakit kelamin. Kulit batangnya yang direbus boleh merawat kahak serta mengurangkan serangan asma. Daun dan bunganya juga digunakan bagi merawat cirit-birit.

Acalypha hispida
Yang Ni Jenis Kurussss ... hehe ...