Bunga Kak Yah di Harian Metro

Pag-pagi lagi handphone Kak Yah dah berbunyi.

"Dah dengar berita?" Suara yang memang Kak Yah kenali masuk ke telinga Kak Yah.

"Belum. Kenapa, R?" Cemas jugak Kak Yah masa tu. Manalah tahu kot kot ada berita tak baik untuk Kak Yah. R adalah kawan baik Kak Yah yang menetap di KL.

"Kalau belum, cepat pergi beli Harian Metro!" R masih dalam nada cemas.

"Ada apa R? Cakaplah..."

"Bawak bertenang... Puan Asiah kita ni dah jadi selebriti! Dah keluar kat Metro! Hebat tu..."

Barulah perasaan cemas tadi bertukar jadi suspens campur gembira. Barulah juga teringat akan peristiwa Kak Yah diinterbiu dek wartawan Harian Metro pada hari Rabu minggu lepas.

"Cepatnya keluar," bisik hati Kak Yah. "Kata K hari tu, lambat lagi - kena beratur!"

Dipendekkan cerita, di bawah ni Kak Yah petik artikel tentang Kak Yah dan bunga-bunga Kak Yah yang tersiar dalam Harian Metro hari ini. Silalah baca .....


                            

'Berkawan Dengan Pokok'


Di dalam blog­nya jomtanambunga.blogspot.com, wanita ini membahasakan dirinya Kak Yah. Rasa tidak sabar bertemu dengannya kerana melalui tulisannya terasa begitu mesra sekali. Ini mungkin kerana apa yang dipapar di situ bukan mengenai cerita masakan atau hal peribadi lain tetapi kecintaan wanita ini pada alam bunga-bungaan. Sejuk rasa hati.

Kami tiba di rumah comelnya menjelang tengah hari. Dia sudah sedia menunggu di tepi rumahnya yang terletak di tepi jalan dan dipagari pokok bunga di bahagian kiri dan kanan rumah itu. Menurutnya, di belakang rumahnya terdapat anak sungai dan ini antara punca tanah di sekitar rumahnya sangat subur.

Nama sebenarnya Asiah Othman, 54, yang bersedia dengan pakaian ‘kerjanya’, bertopi dan mengenakan blaus ringkas, ternyata seperti blognya, sangat ramah, mesra dan mudah didekati. Alam dan matahari adalah dunianya kini.

Ibu dua anak itu kembali ke rumah peninggalan arwah ibunya di Ulu Langat setelah suaminya pencen sekitar 15 tahun lalu. Daripada tinggal di Kuala Lumpur, dia kembali menghayati dunia bersuasanakan kampung.

Seorang yang sangat mencintai bunga-bungaan sejak kecil, Asiah bermula secara aktif menanam bunga agak lambat iaitu sekitar Januari 2011 kerana masanya diisi dengan kesibukan mengajar anak-anak orang kampung kelas tambahan di samping kerjaya rasminya sebagai suri rumah tangga.

“Saya suka melihat rumah orang lain yang mempunyai banyak pokok bunga dan dari situ mula merasa mahu memulakan tanaman di rumah sendiri. Pokok pertama yang saya tanam ialah puding kerana itu yang pernah diajar arwah emak. Ia pokok yang mudah ditanam dan mudah hidup. Ia ada pelbagai warna yang indah seperti kuning, hijau, merah jambu dan jenis kerinting,” katanya.

Minat yang kecil akhirnya membesar dan dari situ suaminya memberi cadangan supaya dia berkongsi minatnya dengan orang lain melalui dunia maya.

Lalu suaminya membantu membina laman blog dan mengajar cara menggunakannya. Di situlah Asiah boleh berkongsi cerita mengenai nama pokok, cara menanam, petua dan perkara lain melalui pengalaman yang ditimbanya sepanjang hari.

“Itulah kisah bermulanya saya berkecimpung di laman sosial dan apa yang terjadi sekarang ini, saya tidak menang tangan membalas mesej di telefon serta berinteraksi di laman sosial dari serata Malaysia yang mahu membeli anak bunga atau benih daripada saya.

“Mereka terdiri daripada pembaca di laman sosial, kawan-kawan, jiran dan hebahan dari mulut ke mulut. Antara yang paling disukai ialah bunga-bunga klasik seperti bunga butang dan bunga yang sukar diperoleh,” katanya yang turut mendapat benih sesama kawan-kawannya.

Asiah, anak jati kelahiran Ulu Langat, menjual benih bunganya dengan harga RM10 dan di dalamnya ada lebih 50 biji benih, diberi lebih kerana niatnya mahu bersedekah. Penghantaran benih dan anak pokok dibuat melalui pos laju.

Buku-buku berkaitan turut menjadi rujukan demi menambah ilmu sedia ada. Antara bunga yang ada di lamannya termasuk ixora, petunia, giant Mexican, cosmos, marigold, balsam, keembung, ati-ati, balung ayam dan keladi.

Memang segar mata memandang melihat warna-warni daripada bunga-bungaan yang ditanam. Dapat dibayangkan betapa kepuasan yang lebih hebat di pihak wanita ini yang menanamnya sendiri.

“Manfaat berkawan dengan pokok ini terlalu banyak. Selain berbakti pada tanah dan alam kehijauan, ia juga sejenis senaman mengeluarkan peluh. Kita juga tidak membuang masa bergosip dan ia terapi yang menenangkan hati dan membuatkan kita awet muda.

“Sekarang, saya juga dapat menjalin silaturahim dengan rakan baru malah sehingga ke Brunei. Dapat juga berkongsi ilmu dan bersedekah serba sedikit,” katanya.

Dia juga mengenali pelbagai jenis tumbuhan daripada spesis yang sama seperti spesis keladi, keembong, balsam, jenjuang, lili, kemboja, calathea dan ati-ati.

“Contohnya keladi, ada keladi zebra, gajah, hijau putih, tompok merah dan berbatik yang sudah saya kumpulkan,” akuinya.

Asiah masih membantu mengajar kelas tambahan kepada anak-anak kampung tetapi minat utama ini nampaknya mengisi kebanyakan masa lapangnya kerana ia semakin sebati di hati. Seketika bersamanya hari itu dapat dirasakan betapa gembiranya hati dikelilingi dunia flora yang indah belaka.


Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 2013/04/02


Untuk membaca artikel sepenuhnya, sila ke http://www.hmetro.com.my/articles/2013040209072920130402090729/Article atau kalau nak tengok gambar-gambar lain, sila dapatkan akhbar Harian Metro keluaran hari ini (2 April 2013 Selasa).


Tidak ada komentar:

Posting Komentar