Bunga Pun Kahwin?

Agak lama jugak Kak Yah tak update blog ni. Tentu korang-korang tertanya-tanya, kan? Sebenarnya seminggu dua ni Kak Yah sibuk membuat persiapan perkahwinan anak bujang Kak Yah yang sorang tu. Maklum sajalah macam-macam nak disediakan dan diuruskan supaya semuanya berjalan lancar. Tapi alhamdulillah semuanya dah selesai dan anak bujang tu dah bergelar sunami eh suami, hehehe... Selepas beberapa hari kat Perak sana, sekarang dah balik semula ke kampung tempat Kak Yah tinggal ni. Lega ....

Citer pasal kawin-mawin ni, Kak Yah terpikir pulak. Dalam adat perkahwinan orang Melayu, bunga tak pernah diabaikan. Yelah, ada bunga rampai; pastu bunga manggar. Belum lagi gubahan bunga dalam hantaran dan macam-macam lagi kegunaan bunga dari peringkat meminang hinggalah ke peringkat bersanding!

Kali ni Kak Yah nak citer sikit tentang bunga rampai. Memanglah ramai yang dah tahu. Tapi masih ada gak generasi baru kita yang kurang tahu tentang bunga rampai ni. Macam kata sorang anak jiran Kak Yah bila ditanya tau tak bunga rampai. Kalau Taman Bunga Rampai kat KL tu saya taulah, jawab dia. Jadi, kenalah Kak Yah yang dah agak lama hidup ni citer sikit kat korang tentang bunga rampai ni, okay?

Perkataan bunga rampai tu maknanya campuran macam-macam jenis bunga. Biasanya orang kita menggunakan daun pandan, kelopak bunga ros, bunga cempaka, bunga kesidang, bunga melur dan bunga siantan (ixora) yang dihiris halus-halus dan digaul.. Untuk tambah wangi lagi disembur pulak dengan minyak wangi. Ada jugak yang memasukkan parutan kulit limau purut. Semua bahan yang dah digaul rata ini kemudiannya diisi ke dalam bekas atau dibungkus kecil-kecil dengan kain kasa (kain nipis dan jarang).

Selain perkahwinan, bunga rampai juga digunakan dalam majlis khatam Quran, malis berkhatan (bersunat) dan majlis bercukur jambul.


Inilah Rupanya Bunga Rampai Tu
Inilah Salah Satu Bekas Bunga Rampai Yang Biasa Digunakan


(Gambar Dari Wikipedia)

Bunga Jadi Wallpaper

Contoh Wallpaper Gambar Bunga. Cantik, Kan?

Kak Yah dah banyak ambik gambar-gambar bunga menggunakan kamera Sony CyberShot yang Kak Yah sayang bangat (bak kata Cik Endon!). Selain daripada meletakkan gambar-gambar tu kat blog ni, Kak Yah jugak gunakan diorang untuk menghias komputer Kak Yah. Betul tu! Kak Yah jadikan wallpaper kat desktop. Bila dah jemu tengok gambar bunga yang pertama tu, Kak Yah gantikan pulak dengan gambar kedua. Dah jemu lagi, tukar lak ngan gambar ketiga dan begitulah seterusnya, sentiasa dapat tengok gambar yang menarik setiap kali Kak Yah onkan komputer.

Korang yang minat sangat kat bunga macam Kak Yah ni boleh jugak buat camtu. Tak susah pun. Bukak internet, pastu taipkan "flower wallpaper" kat Google atau Yahoo atau apa-apa search engine yang korang gunakan. Kliklah mana-mana link yang keluar kat senarai tu (biasanya link pertama atau kedua tu pun dah bolehlah tu. Bila dah terbukak website tu, pilih satu gambar bunga yang korang minat dah savekan ke komputer korang. Pun senang jugak! Caranya korang klik kanan kat gambar tu, pastu klik kat "Save Image As". Pastu pilih kat mana nak save dan kliklah kat pilihan tu biasanya gambar kita save kat My Pictures atau Pictures. Bila dah save, pergi balik kat My Pictures atau Pictures dan cari gambar yang dah disave tadi. Klik kanan kat gambar tu dan pilih Set As Desktop Background (atau lain-lain ayat yang semaksud dengannya mengikut jenis Windows yang korang gunakan). Pastu tutuplah folder My Pictures dan lain-lain folder atau fail yang masih terbukak. Taraa! Dah jadi! Gambar bunga yang korang minat tu dah jadi hiasan wallpaper kat komputer korang. Senang je, kan?

Kalau malas nak cari kat Google, korang boleh ambik je gambar-gambar yang Kak Yah dah sediakan kat bawah ni.









Selamat Mencuba!

Peony Yang Sangat Wangi

Kali ni Kak Yah nak citer sikit tentang salah satu bunga yang terharum di dunia iaitu bunga peony atau nama saintifiknya paeonia suffruticosa. Macam mana rupanya bunga ni? Macam dalam gambar kat bawah ni. Cantik, kan?

Nilah Bunga Peony

Dari Dekat Lagi Cantik, Kan?

Bunga ini didapati banyak tumbuh di Asia, Selatan Eropah dan di barat Amerika Utara. Boleh dibiakkan melalui keratan batang atau biji benih. Untuk tujuan perniagaan, kaedah yang digunakan ialah pembiakan melalui keratan batang dan pengetutan (tut bukan kentut, ye!).

Keluarga spesis bunga ini sangat besar. Ada lebih kurang 38 jenis semuanya. Antaranya paeonia abchasica, paeonia anomala, paeonia bakeri, paeonia broteri dan banyak lagilah! Kalau nak tau jugak, sila lihat gambar-gambarnya kat bawah ni.














 Di negara China, bunga ini sudah lama (sejak zaman purba lagi) menjadi lambang kekayaan dan kehormatan dan pernah menjadi bunga kebangsaan negara itu.

Dari segi perubatan pula, bunga ini dikatakan boleh merawat ketumbuhan, penyakit jantung dan penyakit saraf. Bunga peony ini banyak digunakan dalam perubatan tradsional di Korea, China dan Jepun.

Pokok bunga ini akan mengambil masa yang agak lama untuk berbunga jika pokoknya dicabut dan ditanam di tempat yang lain, tetapi akan terus berbunga dan berkembang mekar sepanjang tahun apabila mula berbunga.Sangat sesuailah untuk dijadikan tanaman hiasan di kawasan rumah kita. Dahlah cantik, wangi pulak tu! Malangnya bunga peony sukar didapati di Malaysia.

(Sumber: Wikipedia)

Sesiapa yang nak tau lebih lagi tentang bunga peony yang harum ni, sila klik link ini: Peonies

Bunga Kebangsaan Negara Jiran

Salam Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kepada semua pembaca/pengikut blog Kak Yah ni!

Sebut pasal hari kebangsaan ni, Kak Yah teringat pulak akan bunga kebangsaan kita iaitu bunga raya. Semua orang dah tau yang bunga raya adalah bunga kebangsaan Malaysia. Tapi tau ke korang bunga apa yang menjadi bunga kebangsaan bagi negara jiran kita Indonesia? Ha, pasti ramai yang belum tau, kan? Baiklah kalau nak tau, kat bawah ni Kak Yah senaraikan nama bunga kebangsaan bagi Indonesia dan negara-negara jiran kita yang lain. Semoga memberi manfaat kepada kita semua.

1. Indonesia

Bunga kebangsaannya ialah bunga Anggerik Bulan (Phalaenopsis Amabilis) atau The Moon Child dalam bahasa omputehnya, bungaJasminum Sambac dan bunga Rafflesia Arnoldii. Ya, ada tiga jenis semuanya yang dijadikan bunga kebangsaan kat sana. Bunga Anggerik Bulan tu berkembang sebanyak dua ke tiga kali dalam setahun dan gugur selepas dua ke enam bulan kemudian. Bunga ni banyak didapati di kawasan tanah rendah di Indonesia.


Anggerik Bulan (Phalaenopsis Amabilis)

2. Singapura

Bunga kebangsaannya juga sejenis orkid iaitu Vanda Miss Joaquim. Bunga ni berwarna ungu dan berkembang sepanjang tahun. Bunga ini banyak ditanam di serata Singapura.

Vanda Miss Joaquim

3. Thailand

Bunga kebangsaannya ialah Ratchaphruek (Cassia Fistula Linn). Rupanya macam dalam gambar kat bawah ni. Tak tau lak Kak Yah nama Melayunya. Kalau korang tau, bolehlah korang kasi tau, ye? Bunga ni berkelompok-kelompok dan berwarna kuning. Orang Thai khasnya penganut Buddha menggangap warna kuning itu sebagai warna  agama Buddha yang melambangkan kemenangan dan kecemerlangan. Biasanya berkembang dalam bulan Februari hingga ke May dan menjadi lambang keharmonian dan kesatuan hati rakyat Thailand. Bunga ini banyak ditanam di sepanjang tepian jalanraya di negara ini.


Ratchaphruek (Cassia Fistula Linn)

4. Viet Nam

Bunga kebangsaan negara Viet Nam ialah Bakawali atau Lotus. Dikenali sebagai Bunga Senjakala, bunga ini banyak didapati di tasik dan kolam di serata negara ini. Bagi rakyat Vit Nam, bunga ini adalah lambang kesucian, komitmen dan harapan baik untuk masa depan mereka. Nama bunga ini selalu disebut di dalam sajak dan puisi rakyat negara ini.

Bunga Bakawali atau Lotus

5. Filipina

Bunga kebangsaannya ialah Sampaguita Jasmine (Arabian Jasmine). Bunga ini berwarna putih dan berkembang sepanjang tahun. Baunya amat harum dan setiap kali mengeluarkannya bau itu boleh tahan selama sehari. Bagi rakyat Filipina, bunga ini melambangkan kesucian dan kekuatan. Bunga ini berasal dari pergunungan Himalaya dan kerap disebut di dalam puisi dan lagu orang-orang di negara ini.


Sampaguita Jasmine (Arabian Jasmine)


6. Brunei Darussalam 

Bunga kebangsaan Negara Brunei ialah Simpor (Dillenia Suffruticosa). Bunga ini berwarna kuning cerah dan berdaun lebar. Apabila berkembang penuh, kelopak-kelopaknya menyerupai sebuah payung. Gambar bunga ini digunakan pada wang kertas satu ringgit Brunei. Juga kerap kali digunakan sebagai corak pada hasil kraftangan tradisional Brunei. Bunga ini banyak tumbuh di sepanjang sungai-sungai di negara ini terutama di Sungai Temburong. Pokok bunga ini boleh digunakan sebagai ubat luka.

Simpor (Dillenia Suffruticosa)

7. Myanmar

Bunga kebangsaannya ialah Paduak (Pterocarpus Indicus). Bunga ini kecil-kecil dan berwarna kuning emas. Biasanya berkembang mekar dalam bulan April iaitu semasa rakyat Myanmar menyambut perayaan tahun baru mereka. Rakyat Myanmar menganggap tumbuhan ini sebagai lambang kekuatan dan ketahanan. Bunganya yang cantik itu pula adalah lambang keremajaan, cinta dan asmara. Biasanya digunakan dalam upacara keagamaan dan tradisi penduduk negara ini. Pokok bunga ini banyak didapati di serata tempat dan kayunya sering dijadikan perabut.


Paduak (Pterocarpus Indicus)


8. Cambodia (Kampuchea)

Bunga kebangsaan negara ini ialah Rumdul (Mitrella Mesnyi). Bunga ini berwarna putih-kuning dan mengeluarkan bau yang harum pada waktu petang. Pokok Rumdul ini boleh tumbuh setinggi 8 hingga 10 meter dan banyak didapati di seluruh Cambodia. Biasanya bunga ini dijadikan tanaman hiasan di taman-taman bunga.

Rumdul (Mitrella Mesnyi)

9. Lao PDR (Laos) 

Bunga kebangsaan negara Laos ialah Dok Champa (Plumeria). Bunga berlilin ini berbau manis dan boleh didapati dalam warna merah, kuning, pink dan warna campuran. bagi rakyat negara ini, Bunga Dok Champa melambangkan kegembiraan dan ketulusan. Bunga ini kerap kali dijadikan hiasan dalam sesuatu upacara ataupun dijadikan kalung menyambut ketibaan tetamu. Tanaman ini banyak didapati di serata negara ini dan berkembang setiap hari untuk suatu tempoh yang agak panjang.

Dok Champa (Plumeria)


Khas Buat Peminat Bunga Liar
Sila Klik Kat Sini: Wildflowers (National Audubon Society First Field Guides)